Wednesday, June 13, 2012

UNDANG-UNDANG BOLA SEPAK

UNDANG-UNDANG – BILANGAN PEMAIN

Pemain-pemain
Suatu perlawanan dimainkan oleh dua pasukan, setiap pasukan mengandungi tidak lebih sebelas pemain dan salah seorang menjadi penjaga gol. Suatu perlawanan tidak boleh dimulakan jika salah satu dari pasukan itu mempunyai kurang dari tujuh pemain.


Perlawanan-perlawanan Rasmi
Sehingga maksimum tiga pengganti boleh digunakan di dalam mana-mana perlawanan rasmi yang dianjurkan di bawah naungan FIFA, konfederasi atau persatuan kebangsaan.

Peraturan pertandingan mesti menyatakan bilangan pengganti yang boleh dinamakan, dari tiga hingga maksimum tujuh.


Perlawanan-perlawanan Lain
Untuk perlawanan pasukan A Kebangsaan, sehingga maksimum enam pengganti boleh digunakan.

Untuk semua perlawanan lain, bilangan penggantian lebih besar boleh digunakan dengan syarat:
• Pasukan-pasukan berkenaan mencapai persetujuan tentang bilangan maksimumnya;

• Pengadil diberitahu sebelum perlawanan

Jika pengadil tidak diberitahu, atau tiada persetujuan dicapai sebelum perlawanan, tidak lebih enam penggantian dibenarkan.


Semua Perlawanan
Untuk semua perlawanan nama pemain pengganti mestilah diserahkan kepada Pengadil sebelum permulaan perlawanan. Pengganti yang tidak dinamakan tidak boleh mengambil bahagian di dalam perlawanan tersebut.


Prosedur Penggantian
Untuk mengganti seseorang pemain oleh pengganti, syarat-syarat berikut mestilah dipatuhi:
• pengadil diberitahu sebelum sebarang cadangan penggantian dibuat.

• pengganti hanya masuk setelah pemain yang digantinya itu telah keluar dan setelah menerima isyarat dari Pengadil.

• pengganti hanya masuk ke padang di garisan pertengahan padang dan semasa pemberhentian permainan.

• penggantian adalah sempurna apabila pengganti masuk ke dalam padang permainan.

• dari masa itu, pengganti menjadi pemain dan pemain yang digantikan itu tamat menjadi pemain.

• seorang pemain yang telah digantikan tidak boleh mengambil bahagian di dalam perlawanan itu seterusnya.

• semua pengganti adalah tertakluk kepada kuasa budi bicara Pengadil, sama ada dipanggil untuk bermain atau tidak.


Pertukaran Penjaga Gol
Mana-mana pemain boleh bertukar tempat dengan penjaga gol, dengan syarat:
• pengadil diberitahu sebelum pertukaran dibuat.

• pertukaran dibuat semasa bola di luar permainan.


Kesalahan-kesalahan dan Hukuman
Jika pengganti atau pemain yang telah digantikan masuk ke padang permainan tanpa kebenaran pengadil:
• permainan diberhentikan (walaupun permainan tidak diberhentikan dengan segera, jika pengganti tidak mengganggu permainan)

• pengadil berikan amaran kepada kerana tidak bersemangat sukan dan mengarahkan dia keluar dari padang.

• jika pengadil telah memberhentikan permainan, permainan dimulakan semula dengan sepakan percuma tidak terus di tempat bola berada semasa permainan diberhentikan (rujuk Undang-undang 13 –Kedudukan Sepakan Percuma)

Jika pemain bertukar tempat dengan penjaga gol tanpa kebenaran Pengadil sebelum pertukaran dibuat:
• permainan diteruskan.

• pemain-pemain berkenaan diberi amaran dan ditunjuk kad kuning sebaik saja bola di luar permainan.

Untuk kesalahan-kesalahan lain:
• pemain-pemain berkenaan diberi amaran dan ditunjuk kad kuning.

• permainan dimulakan semula dengan sepakan percuma tidak terus dibuat oleh pihak lawan di tempat bola berada semasa permainan diberhentikan (rujuk Undang-undang 13 – Kedudukan Sepakan Percuma)


Pemain dan Pengganti Diperintah Keluar
Seorang pemain yang diperintah keluar sebelum permulaan permainan hanya boleh digantikan dengan salah seorang dari pengganti-pengganti yang dinamakan.

Pengganti yang dinamakan jika diperintahkan keluar sama ada sebelum permainan dimulakan atau selepas permulaan permainan, tidak boleh digantikan.

No comments:

Post a Comment