PANTANG LARANG SEMASA DI HUTAN 
Terdapat beberapa petua yang  patut menjadi ingatan kepada mereka yang akan ke hutan. Di antara  pantang larang tersebut adalah seperti petua semasa mula turun ke hutan,  bersiul semasa dalam perjalanan, melaung ketika berada di hutan,  berburu binatang dan tidur di atas pokok. 
Permulaan Turun ke Hutan 
Andainya  seseorang yang baru turun dari rumah untuk ke hutan tiba-tiba dilintasi  ular dalam perjalanannya, maka dipercayai ini merupakan suatu petanda  yang tidak baik.  Orang tersebut haruslah naik semula ke atas rumah dan  mengambil pinang sepiak dan memakannya kemudian barulah turun semula  untuk meneruskan perjalanan. 
Turun tangga haruslah dengan  langkah kaki kanan.  Sebelum turun didahului dengan bacaan  Bismillahirrahmanirrahim. Mereka juga tidak boleh berpatah balik. 
Bersiul Semasa Dalam Perjalanan 
Bersiul  semasa dalam perjalanan adalah ditegah. la dipercayai menjemput  kedatangan ular. Bersiul di dalam hutan pula dilarang sama sekali kerana  ini akan menarik perhatian berbagai jenis binatang buas. Apabila  kehadiran orang yang memasuki hutan itu diketahui oleh binatang buas,  dirinya berada dalam keadaan bahaya. 
Melaung Semasa di Hutan 
Perbuatan  melaung di hutan juga ditegah. Melaung atau bercakap dengan kuat  dipercayai akan menarik perhatian berbagai-bagai jenis jembalang serta  binatang buas yang ada di dalam hutan. 
Sekiranya orang yang  masuk hutan itu melaung, maka laungan itu dipercayai akan disahut oleh  jembalang dan andainya perkara seumpama ini terjadi, maka kejadian  seperti sesat di hutan akan berlaku. 
Berburu Binatang 
Sekiranya  tujuan seseorang ke hutan adalah untuk berburu, dia tidak boleh  berpecah daripada kumpulan kawan-kawannya. Sekiranya dia berpecah juga,  maka akan terjadi sesuatu yang tidak baik, misalnya tertembak rakan  sendiri atau sebagainya. Mengikut kepercayaan, jembalang akan menyerupai  wajah rakan seseorang dan wajah rakan itu pula akan menyerupai binatang  yang hendak diburu.  
Sekiranya hal ini terjadi, maka malanglah bagi mereka yang pergi berburu di hutan itu. 
Tidur di Atas Pokok 
Mereka  yang pergi ke hutan dilarang tidur di atas pokok. Jika berbuat demikian  dipercayai mereka akan diganggu oleh jembalang terbang. Tujuan  sebenarnya jika seseorang tidur di atas pokok, sukar baginya melarikan  diri apabila berlaku sebarang musibah.
No comments:
Post a Comment