Thursday, December 15, 2011

SISTEM BERAJA

KETUA NEGARA DAN NEGERI

Jawatan Yang di-Pertuan Agong bukanlah jawatan yang diwarisi turun temurun. Malaysia mengamalkan sistem kerajaan Raja Berperlembagaan dalam demokrasi berparlimen pada dua peringkat iaitu peringkat Persekutuan dan peringkat Negeri. Pada peringkat Persekutuan, Ketua Negara ialah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, sementara ketua kerajaan ialah Perdana Menteri. Pada peringkat negeri pula, ketua negeri dikenali dengan pelbagai nama seperti Sultan, Raja, Yang di-Pertuan Besar atau Yang Dipertua Negeri. Ketua kerajaan Negeri pula ialah Menteri Besar atau Ketua Menteri.
 
 
 
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin menandatangani Surat Sumpah Jawatan dan Ikrar Taat Setia pada Istiadat Mengangkat Sumpah memegang Jawatan Yang di-Pertuan Agong XIII pada 13 Disember 2006.
Sumber : Perpustakaan Foto, Jabatan Penerangan Malaysia


MAJLIS RAJA-RAJA

Dalam Perlembagaan Persekutuan urusan pemilihan dan perlantikan Yang di-Pertuan Agong adalah terletak pada Majlis Raja-Raja. Dalam sistem kerajaan Persekutuan yang terdapat ramai Raja, sebuah Majlis yang dinamakan Majlis Raja-Raja telah ditubuhkan mengikut Perkara 38 Perlembagaan Persekutuan sebagai tempat bagi Raja-Raja dan Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri bertemu dan berbincang. Dalam beberapa perkara yang tertentu, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kerajaan supaya memperolehi nasihat daripada Majlis Raja-Raja.
NASIHAT KERAJAAN
Institusi pemerintahan beraja merupakan sumber kekuasaan dan kewibawaan, pemerintah dan kerajaan. Institusi ini merupakan sumber kekuatan rakyat dan tempat rakyat mencari perlindungan, keadilan, memberikan kesetiaan, kecintaan dan taat setia kepada negara. Di negara-negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen di bawah sistem kerajaan Raja berperlembagaan, kuasa rakyat terletakhak pada Parlimen yang kemudiannya meletakhakkan kuasa eksekutif kepada Jemaah Menteri. Walau bagaimanapun, setiap tindakan pihak berkuasa dilaksanakan atas nama Yang di-Pertuan Agong yang bertindak atas nasihat kerajaan.

No comments:

Post a Comment